Ibu hampir tak sanggup tatap arwah Hanisah.....
Dungun: Ibu dan bapa pelajar Malaysia yang maut dalam kemalangan jalan raya di Wilayah Nizhny, Russia, Ahad lalu, sebak dan terpaksa dipapah saudara mara sebaik melihat jenazah anaknya diusung ke Masjid Tengku Ampuan Intan Zaharah, Kampung Molek, di sini, pagi semalam.
Jenazah Hanisah Muhd Shah, 22, yang tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kira-kira jam 11 malam kelmarin, dibawa dengan kereta jenazah dan tiba di Masjid Tengku Intan Zaharah, jam 6 pagi sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Syed Yahaya, Kampung Molek untuk dikebumikan. Muhd Shah Salleh, 62, dan isteri, Rokayah Mohd, 61, yang sebelum itu memberitahu hatinya sangat sedih dan tidak sanggup menatap wajah arwah anaknya, Hanisah, 22, akhirnya berubah fikiran dengan menatap dan memberi ciuman ke atas jenazah anaknya buat kali terakhir.
Katanya, dia dan isteri terasa pilu apabila mengingatkan wajah ceria anaknya sepanjang dua bulan bercuti di kampung serta saat perpisahan di KLIA, pada 2 September lalu yang tetap kekal dalam sanubari.“Saya dan isteri kelmarin, mengambil keputusan tidak mahu menatap wajahnya (Hanisah) dan bercadang supaya jenazahnya segera disembahyangkan dan selepas itu terus dikebumikan. “Namun hari ini (semalam) hati kecil kami berbisik agar kami menatap wajahnya untuk kali terakhir,” katanya yang menahan sebak ketika ditemui selepas selesai solat jenazah di masjid berkenaan.
Puas hati
Muhd Shah berkata, biarpun sangat sedih, beliau dan isteri berpuas hati kerana dapat menunaikan semua permintaan arwah sepanjang dua bulan pulang bercuti termasuk sempat berhari raya bersama keluarga. Beliau sekeluarga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk Menteri Belia Dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang banyak membantu sehingga urusan membawa pulang jenazah berjalan lancar dan cepat serta media massa yang melaporkan kemalangan itu.
From '62 To Sixty Two
21 hours ago
No comments:
Post a Comment