Islamic Clock

Tuesday, January 26, 2010

20 Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT)


Kumpulan pertama Sekolah Berprestasi Tinggi diberi autonomi

PUTRAJAYA: Misi mengangkat sekolah negara ini ke taraf dunia bermula semalam dengan pemilihan kumpulan pertama 20 Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) yang menyaksikan pengetua dan guru besar diberi autonomi tambahan dalam pengurusan kurikulum, kewangan dan kakitangan.

Autonomi itu antara lain memberi kelonggaran memanjangkan waktu persekolahan, menamatkan tempoh persekolahan pelajar cemerlang setahun lebih awal, mengagihkan kewangan mengikut keperluan serta mengambil kakitangan berdasarkan pencapaian dan bukan kekananan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata SBT dibimbing dan dipantau secara khusus menjamin berlaku lonjakan prestasi secara berterusan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata penilaian SBT akan dibuat berdasarkan laporan tahunan petunjuk keberhasilan dan pemeriksaan sekolah mengikut Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) yang diubah suai.

Beliau bagaimanapun menjelaskan SBT bukan sekolah elit untuk sebilangan kecil pelajar, sebaliknya semua sekolah mempunyai peluang sama dan boleh bersaing ‘di padang sama rata’ bagi mendapat pengiktirafan itu.

Muhyiddin berkata, 20 sekolah berkenaan dipilih daripada 10,000 sekolah di seluruh negara berdasarkan kriteria tertentu termasuk menunjukkan pencapaian cemerlang dalam akademik dan kokurikulum.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata kementerian belum ada mekanisme khusus mengenai langkah autonomi SBT yang membenarkan tempoh persekolahan ditamatkan setahun lebih awal bagi murid cemerlang.

"Panduan kasarnya ialah kerajaan berasakan pelajar cemerlang dibenarkan menamatkan persekolahan setahun lebih awal, tetapi ia akan bergantung kepada cadangan pengetua dan guru besar,” katanya.

SEKOLAH TERPILIH SBT

Sekolah Berasrama Penuh:

* Sekolah Tun Fatimah (Johor Bahru)
* Sekolah Dato’ Abdul Razak (Seremban)
* Kolej Melayu Kuala Kangsar
* Sekolah Seri Puteri (Cyberjaya)
* Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim (Jitra)
* Kolej Tunku Kurshiah (Seremban)
* Kolej Islam Sultan Alam Shah (Klang)
* Sekolah Menengah Sains (SMS) Tuanku Syed Putra (Perlis)
* Sekolah Sultan Alam Shah (Putrajaya)
* SMS Muzaffar Syah (Melaka)

Sekolah Menengah Harian:

* Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (P) Sri Aman (Petaling Jaya)
* SMK Aminuddin Baki (Kuala Lumpur)
* SMK Sultanah Asma (Alor Setar)
* SMK (P) St George (Pulau Pinang)

Sekolah Rendah:

* Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bintang Utara (KL)
* SK Taman Tun Dr Ismail 1 (Kuala Lumpur)
* SK Bukit Damansara (KL)
* SK Zainab (2) (Kota Bharu)
* SK Convent Kota (Taiping)
* SK Bandar Baru Uda 2 (Johor Bahru)

Sekolah diberi autonomi:

* Fleksibel dlm pengajaran & pembelajaran serta silibus bg subjek wajib & elektif
* Boleh menggunakan bahasa pengantar bahasa kebangsaan atau pelbagai bahasa lain.
* Kelonggaran menetapkan waktu pengajaran minimum sesuatu mata pelajaran.
* Memanjangkan waktu persekolahan.
* Membenarkan tempoh persekolahan bg pelajar cemerlang ditamatkan setahun lbh awal (seperti kelas lompat).
* Fleksibiliti untuk mengagihkan kewangan mengikut keperluan.
* Pengecualian daripada perolehan secara berpusat.
* Bajet tambahan antara RM500,000 hingga RM1 juta setahun.
* Mengambil staf berdasarkan prestasi pencapaian dan bukan kekananan.
* Boleh menyediakan bayaran kerja lebih masa dan ganjaran berdasarkan prestasi kepada semua staf.
* Boleh memindahkan staf jika prestasi kurang memuaskan.
* Pengagihan fungsi berdasarkan akademik dan bukan akademik.

Kriteria pemilihan SBT :

* Pencapaian akademik yang cemerlang.
* Melahirkan personaliti unggul.
* Merangkul anugerah kebangsaan dan antarabangsa.
* Mewujudkan jalinan dengan institusi pengajian tinggi.
* Mempunyai permuafakatan jitu dengan masyarakat serta jaringan kukuh dengan sekolah tempatan dan antarabangsa.
* Menjadi penanda aras kepada sekolah dalam dan luar negara.

No comments:

Post a Comment