Islamic Clock

Monday, December 15, 2014

Roseyatimah cinta sejati Mustapha

Namun apabila mengukur kasih sayang seorang suami terhadap isteri, sememangnya ia tidak bersempadan. Biarpun ajal dan maut memisahkan mereka sejak 14 Disember 1987, namun perasaan kasih sayang terhadap isteri tercinta, Allahyarham Roseyatimah memang tidak pernah surut di hatinya. Begitulah yang dapat disimpulkan oleh penulis tatkala kali pertama menjejakkan kaki ke rumah teres tiga bilik yang terletak di Subang Jaya milik Datuk Mustapha Azhari Maarof, 76 tahun.

Tatkala melangkah 'istana kesayangan' Mustapha Maarof, mata tiba-tiba terpaku melihat setiap sudut dinding rumah itu tergantung indah gambar Allahyarham isteri tersayang yang sudah lama kembali ke rahmatullah meninggalkan suami dan dua anak kerana barah payu dara. Satu demi satu, wajah manis seniwati yang mengukir nama dalam dunia filem Melayu itu ditatap, hati ini tiba-tiba berkata, betapa dalamnya cinta dan kasih sayang Mustapha Maarof terhadap Roseyatimah atau nama sebenarnya Rosnah Jasni. Sebab itu, tidak hairanlah biarpun telah lebih dua dekad hidup sendirian tanpa belaian seorang wanita bernama isteri, Mustapha Maarof tetap bahagia ditemani anak, menantu dan tujuh orang cucunya.
Bukan setakat gambar yang disimpan malah dari ruang tamu ke ruang tengah kediaman, satu demi satu, barangan kesayangan milik isteri ditunjukkan termasuk perhiasan, pakaian dan ratusan buku resipi koleksi peribadi isterinya diatur cantik dalam empat buat kabinet.

"Selain anak-anak, hanya inilah barangan kenangan milik arwah yang menjadi teman ketika saya sunyi.
"Sebab itu, sejak dulu hingga hari ini tidak terlintas di hati saya untuk memberikan barang-barang ini kepada orang lain apalagi untuk membuangnya.
"Barang-barang ini bukan sahaja menjadi kenangan malah ia tempat anak-anak melepas rindu terhadap arwah.
"Bayangkan ketika arwah meninggal, anak-anak masih kecil. Waktu itu, hati dan perasaan ini hanya Allah yang tahu tetapi demi anak-anak saya harus kuat," kata Mustapha menyingkap kisah dukanya.

Mungkin bagi mereka yang tidak mengenali seniman yang mencipta nama melalui filem Hang Tuah dan menjadi pujaan ramai wanita, menganggap itu bagaikan sebuah kisah yang berputar di layar perak. Namun hakikatnya itulah kesetiaan dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi Mustapha Maarof.

Mustapha dan arwah isterinya, Roseyatimah mendirikan rumah tangga pada tahun 1967. Allahyarham menjejakkan kaki ke Keris Film di Singapura sekitar tahun 1955 dan kerjaya seninya bermula dengan filem Pendekar Bujang Lapok.
"Ketika itu saya lihat arwah orangnya memang lemah lembut, sopan dan cukup menghormati orang lain.
"Namun Rose bukan senang untuk diperisterikan. Dia anak tunggal dalam keluarga Allahyarham Pak Jasni dan Mak Neng. Bagaimanapun, inilah yang dikatakan jodoh.
"Sebab itu, biarpun maut memisahkan kami, tetapi bagi saya Rose sentiasa hidup di hati ini. Tawa manisnya, suara manjanya sesekali terngiang-ngiang di telinga saya," kata Mustapha.

Tatkala berkongsi memori indah arwah isteri kesayangannya itu, Mustapha yang mulanya tenang tiba-tiba terdiam seketika tanpa diduga matanya berkaca dan dalam getar suaranya dia berkata:
"Sehingga kini memori hidup bersama arwah memang sukar saya dilupakan. Semakin lama arwah pergi, semakin dekat arwah di hati ini.
"Kasih sayang yang dicurahkan oleh arwah terhadap keluarga memang tiada galang gantinya.
"Kadang-kadang saya rasa arwah bagaikan bersama kami, walaupun hakikatnya arwah sudah lama pergi.
"Sampai saat ini saya tidak boleh lupa cara dia menjaga anak-anak dan lazatnya masakan dia sehingga kini masih terasa.
"Arwah tahu saya suka makan makanan yang masih panas. Kalau saya ada di rumah dia akan masak pelbagai jenis lauk pauk untuk kami anak-beranak makan.
"Dia tidak suka simpan makanan sehingga sejuk. Masakannya yang paling saya suka ialah asam pedas dan paru masak rempah.
"Satu sikap dia yang saya suka, untuk menjadi isteri yang baik dia sanggup membuat pelbagai hiasan rumah dan memasak. Buku resipinya beratus-ratus dan saya masih simpan hingga hari ini.
"Setiap kali dia ke dapur, anak sulung kami, Azlynna pasti akan menolong sehinggakan masakannya kini boleh dikatakan hampir sama dengan arwah ibunya."

Mengakui tempoh membesarkan dua anak, Azlynna,41, dan Mohamad Rezainuddin,35, bukanlah tempoh yang singkat. Ia sebenarnya tidak begitu mudah dilakukan oleh seorang bapa tunggal sepertinya. Seorang lagi anak mereka ialah Mohammed Khairuddin meninggal dunia akibat denggi ketika berusia tiga tahun. "Perasaan curiga sering membelenggu saya terutama apabila memikirkan tentang anak-anak. Sehinggalah ke satu tahap, saya ikut ke mana mereka pergi.

"Bukan apa, pergaulan yang tidak menentu dengan gejala sosial yang menular membuatkan saya risau. Keadaan ini berlarutan berpuluh tahun lamanya sehinggalah anak-anak saya berkahwin," kata Mustapha. Biarpun reda dengan pemergian isterinya, dia terkilan kerana pada saat dia dirai dan dikurniakan gelaran Datuk, isterinya tiada di sisi. Sebelum Roseyatimah, Mustapha pernah memperisterikan pelakon jelita, Suraya Harun dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata bernama Suzlynna. Namun perkahwinan itu hanya mampu bertahan selama tiga tahun sahaja apabila mereka berpisah pada tahun 1965.

"Anak-anak amat menghormati saya. Malah, mereka langsung tidak menyebut tentang perkahwinan. Terus-terang saya selesa hidup begini," katanya. Anak seni yang dilahirkan pada tanggal 1 Januari 1935 itu sehingga kini masih aktif dalam pelbagai persatuan. Dalam bidang lakonan dan penerbitan, syarikatnya, Warna Motion Pictures tidak lama lagi bakal muncul dengan siri terbaru Pak Kadok dan dijangka ditayangkan pada 2 April ini di RTM 2. Selain Mustapha, drama rantaian 13 episod itu turut dilakonkan oleh Datuk Aziz Singah, Bob Singah dan Rosnah

No comments:

Post a Comment