Islamic Clock

Friday, April 19, 2013

Bekas Menteri Kebajikan Masyarakat Tenat

KUALA LUMPUR 18 April - Veteran UMNO yang juga Bekas Menteri Kebajikan Masyarakat, Tan Sri Aishah Ghani, 90, hari ini dilaporkan dalam keadaan tenat dan tidak stabil selepas dimasukkan di sebuah hospital swasta sejak Sabtu lalu. Menurut salah seorang ahli keluarganya, Aishah telah beberapa kali keluar masuk hospital kerana mengalami masalah kesihatan akibat sakit tua dan dikatakan stabil sebelum keadaannya menjadi semakin tenat hari ini.

"Sejak dimasukkan semula ke hospital Sabtu lalu, keadaan beliau masih lagi stabil malah mampu untuk bercakap dan mengenali seluruh ahli keluarga serta kenalan yang datang melawat. "Namun, sejak pagi tadi keadaannya menjadi tidak stabil malah keupayaannya untuk bercakap sudah tiada. Bagaimanapun tiada sebarang tanda-tanda sakit luar biasa yang ditunjukkan beliau, hanya sakit biasa yang dialaminya kerana tua," katanya ketika di temui di sini hari ini.

Ahli keluarga Aishah kini hanya mampu berdoa yang terbaik buat beliau dan reda dengan segala kemungkinan yang akan berlaku. Mereka turut mengharapkan agar seluruh rakyat Malaysia khususnya yang mengenali beliau agar turut sama mendoakan kesihatan tokoh politik itu kembali pulih seperti sedia kala.

Aishah merupakan wanita pertama di Malaysia yang dilantik sebagai senator pada 1963 dan merupakan wakil wanita pertama dari Malaysia ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Beliau juga pernah dilantik menjadi Menteri Kebajikan Masyarakat dari 1973 hingga 1984.

No comments:

Post a Comment